::Falsafah Pendidikan Malaysia::
Monday, April 13, 2009
PENGENALAN
Syed Muhammad Naquib al-Attas, (1999) mendefinisikan pendidikan sebagai suatu proses menanam sesuatu ke dalam diri manusia. Pendidikan Islam pula ditakrifkan oleh Ahmad Mohd Salleh (2004) sebagai suatu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.
Manakala menurut Mohd Yusof Ahmad (2004) pula, Pendidikan Islam adalah satu usaha atau proses mengajar, mengasuh, mendidik dan mengembangkan potensi individu dari segi aqli, rohani, jasmani dan emosi supaya menjadi insan seimbang yang mampu untuk membangun diri, keluarga dan masyarakat berdasarkan ajaran Islam, di samping itu ia juga berusaha untuk mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan kesejahteraan hidup di akhirat. Pendidikan Islam ini bukan sahaja mata pelajaran di sekolah, tetapi satu proses pembentukan manusia berdasarkan ajaran Islam. Ia juga bermaksud sistem yang bersumberkan wahyu, iaitu satu sumber yang sempurna untuk mendidik manusia bagi mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Tujuannya ialah melahirkan muslim yang soleh, yang dapat membangun diri, keluarga dan masyarakat ke arah yang diredhai Allah.
Melalui definisi dan maksud di sebalik Pendidikan Islam seperti yang dihuraikan di atas, dapatlah kita fahami betapa besarnya peranan guru Pendidikan Islam dalam mendidik pelajar-pelajar agar tujuan yang Pendidikan Islam itu benar-benar dicapai. Namun begitu, untuk mencapai tujuan tersebut guru Pendidikan Islam masa kini menghadapi banyak cabaran khususnya dalam melaksanakan persekitaran bilik darjah dan sekolah yang kondusif selari dengan prinsip-prinsip ajaran Islam. Sebelum melihat cabaran-cabaran yang dihadapi oleh guru Pendidikan Islam, lebih elok diteliti apakah maksud cabaran, kondusif dan apakah pula prinsip-prinsip Islam.
Merujuk Kamus Dewan edisi keempat, cabaran diertikan sebagai sesuatu yang menguji kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu organisasi. Kondusif membawa erti sesuai, baik dan sebagainya untuk membantu, mencapai atau mendorong menghasilkan sesuatu.
Prinsip-prinsip asas ajaran Islam pula ialah sesuatu yang dilakukan itu mestilah berteraskan al-Quran, as-Sunnah, ijma’ ulama’, qias serta selari dengan nilai-nilai Islam. Jadi di sini, dapat kita fahami bahawa yang dimahukan di sini ialah apakah cabaran atau indikator-indikator yang menguji kemampuan guru Pendidikan Islam dalam mewujudkan persekitaran bilik darjah dan sekolah yang sesuai dengan ajaran Islam iaitu berteraskan sumber Islam yang dibenarkan.
Cabaran ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu:-
1. Cabaran dalam melaksanakan persekitaran bilik darjah selari dengan prinsip-prinsip ajaran Islam.
2. Cabaran dalam mewujudkan suasana sekolah yang kondusif selari dengan prinsip-prinsip ajaran Islam.
1. Cabaran dalam melaksanakan persekitaran bilik darjah selari dengan prinsip-prinsip ajaran Islam.
Cabaran : Kesamaran peranan sebagai guru Pendidikan Islam.
Hari ini dapat dilihat berapa ramai guru lebih bersikap ‘menjalankan tugas sahaja’ bagi memenuhi arahan dari pihak atasan samada pengetua, Pegawai Pelajaran Daerah atau Kementerian Pendidikan. Guru akan kurang berusaha menentukan pembelajaran yang berkesan dan lebih mudah memenuhi ’keperluan pentadbiran’ kerana ia diperhatikan dan dihargai oleh orang atasan. Oleh itu mereka mengabaikan ’keperluan pelajar’ di bilik darjah. Ini menimbulkan rasa tidak ikhlas di dalam diri guru dalam mendidik. (Ishak Haron, 1993)
Mereka lupa bahawa Islam memandang tinggi kepada ahli-ahli ilmu. Guru adalah murabbi, muallim, mudarris, alim atau ulama pada kaca mata Islam. Mereka menyampaikan ilmu-ilmu Allah supaya setiap yang dididiknya mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat. (Ahmad Mohd Salleh, 1995)
Cara penyelesaian :
Sebagai guru Pendidikan Islam, amalan muhasabah diri perlu dilaksanakan. Fungsi dan peranan dalam membentuk ummah perlu direnung semula. Kegagalan memahami fungsi dan peranan yang sebenar akan memberi kesan yang amat besar kepada pembentukan ummah.
Selain itu, guru perlu mengetahui, memahami dan menghayati isi kandungan mata pelajaran Pendidikan Islam melangkaui batasan sukatan pelajaran, menguasai ilmu naqliyyah dan ilmu aqliyyah pada tahap yang membanggakan, dan pelbagai lagi. Guru juga perlu mengetahui dengan luas berkaitan pedagogi dan psikologi pembelajaran di samping melengkapkan diri dengan kemahiran pengurusan bilik darjah. (Nik Azis Nik Pa, 1993)
Perkara yang penting juga ialah sebagai seorang pendidik, guru harus mempamerkan sifat-sifat terpuji yang dapat diterima oleh pelajar, masyarakat dan rakan sekerjanya. Antara sifat seorang guru ialah tegas, ramah, suka berjenaka, adil, dedikasi, toleransi, pandangan luas dan dinamik. Sifat dinamik ini perlu dimiliki oleh guru supaya tidak ketinggalan di belakang dalam arus pengetahuan yang semakin berkembang.
Oleh itu guru Pendidikan Islam perlu memahami, menghayati dan berusaha mencapai apa yang digariskan di dalam Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Islam. Peranannya sebagai penyemai nilai-nilai murni, pembimbing, fasilitator, kaunselor, sebagai contoh teladan, hakim dalam memberi hukuman sewajarnya kepada pelajar-pelajarnya perlu diambil berat. (Shahril Marzuki & Habib Mat Som, 1999)
Cabaran : Minat dan perspektif murid terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam.
Kebanyakan murid berpandangan bahawa Pendidikan Islam hanyalah salah satu dari mata pelajaran yang terdapat di sekolah. Bagi pelajar yang beragama Islam, mereka diwajibkan untuk mengambil mata pelajaran ini. Ramai di antara mereka yang bersungguh-sungguh menguasai mata pelajaran ini semata-mata untuk memperolehi A di dalam keputusan peperiksaan. Sedangkan fungsi Pendidikan Islam jauh lebih besar daripada itu. (Che Noraini Hashim, 2005)
Apabila sudah begitu perspektif murid terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam, mana mungkin akan timbul minat untuk mempelajarinya dengan lebih mendalam. Jauh sekali untuk menghayati pelajaran tersebut. Kesannya apabila tiba giliran mata pelajaran ini, murid-murid tidak melibatkan diri secara aktif di dalam bilik darjah. Hanya segelintir sahaja murid yang mungkin memberikan tumpuan. Tetapi diganggu pula oleh murid-murid lain yang bising di dalam kelas. Apabila situasi ini berlaku, pembelajaran yang kondusif di dalam kelas tidak dapat diwujudkan.
Cara penyelesaiannya :
Jadi di sini, nampak bahawa guru perlu memainkan peranan yang penting. Guru perlu menerangkan hakikat Pendidikan Islam di sekolah di mana ia mempunyai dua tujuan besar iaitu untuk memberi pengetahuan agama Islam kepada pelajar sebagai satu pelajaran untuk tujuan peperiksaan dan peranan paling besar ialah untuk membimbing murid sekolah agar menghayati agama Islam untuk tujuan amalan dan penghayatan. Jadi, selain pelajar menguasai fakta-fakta untuk tujuan peperiksaan, mereka juga harus dibimbing untuk mengamal dan menghayati agama Islam. Tugas kedua ini adalah sesuatu yang tersirat dalam tugas guru Pendidikan Islam. Ini harus disedari oleh semua guru Pendidikan Islam kerana tugas mereka tidak hanya terhad kepada memberi pengetahuan agama sahaja sebagaimana yang digariskan dalam sukatan pelajaran tetapi juga menanam minat dan cinta terhadap agama yang menjadi pegangan hidup mereka. (Azman Wan Chik, 1987)
Namun persoalannya ialah berapa ramai guru yang menyedari hakikat ini? Adakah mereka berusaha lebih daripada menyalurkan ilmu untuk tujuan peperiksaan sahaja? Adakah mereka mampu menjadikan bilik darjah itu menarik dan murid-murid minat untuk mendalaminya?
Cabaran : Keadaan bilik darjah yang tidak memuaskan.
Keadaan bilik darjah yang tidak terurus,kerusi meja yang banyak dan nampak berselerak, cahaya yang tidak mencukupi, panas, bekalan elektrik tidak ada atau sudah tidak berfungsi menimbulkan ketidakselesaan kepada pelajar menyebabkan mereka gelisah. Oleh sebab itu,mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran sepenuhnya dan ini memungkinkan berlaku gangguan kepada pengajaran dan pembelajaran.
Guru tidak akan dapat mengawal kelasnya dengan baik apabila bilangan murid terlalu ramai lebih-lebih lagi terdapat berbagai-bagai tahap kebolehan pelajar. Ada pelajar yang lemah, sederhana dan tinggi tahap kebolehan menerima apa yang diajar oleh guru. Guru tidak mampu melayan semua karenah pelajar di dalam kelas tersebut. Jadi,pelajar yang tertinggal atau atau tidak berminat mengikuti pengajaran guru akan melakukan aktiviti-aktiviti yang mengganggu pengajaran dan pembelajaran. Contohnya membuat bising, mengganggu rakan dan bergerak ke sana sini. (Shahabudin Hashim, Rozihani Yaakub, Mohd Zohir Ahmad, 2007)
Cara penyelesaiannya :
Di sini pihak yang terbabit untuk menyelesaikan masalah ini ialah pihak pengurusan atau pentadbiran sekolah di mana mereka perlu berusaha mendapatkan kemudahan bilik darjah yang masih tidak mencukupi. Pihak kedua ialah peranan guru itu sendiri. Guru yang bermotivasi tinggi, kreatif dan inovatif akan mempunyai semangat dan idea-idea yang kreatif dalam membentuk suasana pembelajaran yang kondusif. Guru tersebut perlu bijak dalam membentuk dan menyusun susunan peralatan dan barang-barang yang terdapat di dalam bilik darjah agar nampak tersusun dan tidak berselerak.
Aspek keceriaan juga ada kalanya memberikan kesan yang tinggi terhadap suasana bilik darjah. Kepelbagaian hiasan di dinding seperti ayat-ayat al-Quran, nas-nas hadis, kata-kata motivasi dari para ulama’ , sudut pameran kerja pelajar,sudut pengetahuan, sudut maklumat, sudut bacaan dan sebagainya akan mewujudkan suasana kondusif pembelajaran pelajar dan memotivasikan mereka. Sampel kerja-kerja pelajar yang terbaik seperti karangan, lukisan, matematik dan sebagainya boleh dipamerkan di bilik darjah supaya ia mendorong pelajar lain membaiki kelemahan mereka.
Di sini guru perlu menerapkan nilai-nilai Islam iaitu mementingkan kebersihan, kepentingan bekerjasama menjaga barang-barang, saling tolong menolong dan sebagainya lagi. (Abd. Rahim Abd. Rashid)
Untuk mengatasi masalah bilangan murid yang terlalu ramai di dalam bilik darjah, ia mungkin boleh mengutarakan masalah tersebut kepada pihak pengurusan sekolah untuk diambil jalan penyelesaiannya.
Cabaran : Masalah disiplin dan keruntuhan akhlak pelajar.
Untuk mewujudkan bilik darjah dan sekolah yang kondusif itu bukanlah suatu pekerjaan yang mudah. Ada sesetengah sekolah dihadapkan dengan masalah disiplin dan keruntuhan akhlak yang teruk dalam kalangan murid-muridnya. Menurut Zawawi Ahmad (1996), akhlak ialah suatu menifestasi hidup yang luas yang mencakupi kegiatan menghubungkan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan semua makhluk Allah yang lain di dunia ini. Akhlak manusia adalah sangat peka dan mudah berkesan dengan sebarang tingkah laku sama ada baik ataupun buruk. Oleh yang demikian Rasulullah sering mengingatkan umatnya tentang mustahaknya akhlak dibentuk dengan baik.
Namun akibat pengaruh dari barat, media massa dan sebagainya, kita dapat lihat betapa runtuhnya akhlak dalam kalangan murid Islam pada masa kini. Rakan sebaya juga mempengaruhi akhlak pelajar. Sebagai contohnya, pelajar yang mudah terpengaruh akan mudah diajak untuk menimbulkan masalah disiplin samada di dalam bilik darjah atau di sekolah. Contohnya menghisap rokok, meminum arak, menyalahgunakan dadah, merosakkan harta benda sekolah, ponteng kelas, bersembunyi di dalam tandas dan sebagainya lagi. (Ibrahim Mamat,1997) Pelajar-pelajar seperti inilah yang selalu menimbulkan masalah dan gangguan apabila berada di dalam bilik darjah.
Cara penyelesaiannya :
Untuk mengatasi masalah ini guru Pendidikan Islam memerlukan bantuan dan kerjasama dari pihak lain samada ibu bapa, guru-guru lain, pihak sekolah dan juga perhatian masyarakat. Apabila semua turut memberikan perhatian terhadap masalah ini, sedikit sebanyak ia akan mengurangkan masalah ini. Pihak sekolah sebagai contohnya perlu mengenakan tindakan disiplin bagi murid-murid yang terlibat dengan masalah ini. Apabila pelajar-pelajar seperti ini sudah dapat dikawal, proses pengajaran dan pembelajaran akan dapat dilaksanakan dengan lebih kondusif.
Selain itu, guru Pendidikan Islam perlu mempelbagaikan kaedah yang digunakan untuk membolehkan murid tertarik untuk belajar mata pelajaran Pendidikan Islam ini. Antara kaedah tersebut ialah kaedah perbandingan, kaedah soal jawab, kaedah perbincangan, kaedah syarahan, kaedah hafalan, kaedah tulisan, kaedah pemahaman, kaedah ulangan, kaedah permainan, kaedah amali dan demonstrasi, kaedah eksperimen, kaedah bercerita dan kaedah pelaziman.(Ghazali Darussalam, 2004).
Kaedah dan teknik yang dipilih haruslah berdasarkan umur, kecerdasan, kebolehan dan minat murid. Dalam hal ini pemilihan bahan pelajaran yang sesuai hendaklah berkait rapat dengan teknik mengajar. ( Mok Soon Sang,1991) Penggunaan alat bantu mengajar (ABM) merupakan untuk memastikan murid menerima pengetahuan dan kemahiran yang diajar. Ia memberi peluang kepada murid untuk memperoleh pengetahuan melalui penggunaan pelbagai deria, iaitu deria penglihatan, deria sentuh dan deria pendengaran. Contoh alat bantu mengajar ialah tayangan video,MP4, tayangan slide, kad manila, komputer, buku teks, buku rujukan, kertas mahjong, kertas A4 dan lain-lain lagi. (Ahmad Mohd Salleh, 2004)
Penggunaan kepelbagaian teknik dan kaedah yang digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran serta dibantu dengan alat bantu mengajar membolehkan pelajar terlibat secara aktif di dalam bilik darjah. Dari situ, pembelajaran yang kondusif dapat diwujudkan. Azman Wan Chik (1987) mengesyorkan guru agar berusaha untuk menjadikan bilik darjah Pendidikan Islam sebagai satu medan yang indah dan menarik sehingga murid di dalamnya tidak ingin keluar dan murid yang di luar berebut-rebut untuk masuk ke dalam.
2. Cabaran dalam mewujudkan suasana sekolah yang kondusif selari dengan prinsip-prinsip ajaran Islam.
Cabaran : Budaya dan pengurusan sekolah
Kebanyakan sekolah pada hari ini lebih menumpukan kepada aspek kecemerlangan akademik seperti mengadakan program motivasi, bengkel teknik menjawab soalan peperiksaan dan seumpamanya. Aktiviti-aktiviti bercorak pemupukan nilai kurang mendapat sambutan.Contohnya aktiviti gotong royong, ceramah-ceramah kerohanian dan sebagainya lagi. (Shahril Marzuki & Habib Mat Som, 1999). Hal-hal berkaitan program-program sekolah dan sebagainya ini berkait rapat dengan sistem pengurusan dan pentadbiran sekolah.
Cara penyelesaiannya :
Pihak pengurusan hendaklah mempunyai misi dan wawasan yang jelas berlandaskan budaya, nilai agama dan akhlak yang didokong oleh warga sekolah. Kurikulum dirangka dan dilaksanakan harus memberi kepada peneguhan ilmu tentang akidah dan akhlak samada dalam buku teks, pengajaran dan pembelajaran atau aktiviti dalam bilik darjah dan sekolah. Aspek agama dan nilai perlu ditekankan merentasi kurikulum dan kesepaduan ilmu wahyu dan ilmu sains tabii dan sains kemanusiaan. Kegiatan ko-kurikulum juga harus menyokong pemupukan aqidah dan akhlak di samping menyediakan ruang untuk penambahan pengalaman ilmiah, disiplin dan tanggungjawab kepemimpinan. Sewajarnya pihak pengurusan menyediakan prasarana untuk melaksanakan aktiviti ko-kurikulum berbentuk ibadah seperti berkhemah dan bertamrin hujung minggu di sekolah,di luar dan sebagainya.
Pihak pengurusan sekolah juga hendaklah berusaha mewujudkan budaya sekolah yang menghidupkan nlai-nilai aqidah dan akhlak supaya pelajar berasa selamat, sentiasa ingin berbakti dan berusaha untuk maju dalam pelajaran berdasarkan dorongan yang lebih tinggi iaitu mencari keredhaan Allah bukan hanya untuk menggembirakan warga sekolah, ibu bapa dan guru. Sebahagian dari budaya ini adalah sifat muraqabah iaitu merasa Allah sentiasa memerhati mereka dan muhasah iaitu Allah akan menghitung perbuatan mereka untuk dipertanggungjawabkan. Sesungguhnya jika setiap warga sekolah bermula dari pengetua, guru, kakitangan sokongan sehingga kepada pelajar menghayati nila-nilai akhlak ini, sudah tentu sekolah yang kondusif berdasarkan nilai-nilai Islam ini dapat diwujudkan. ( Jabatan Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, 1999).
Cabaran : Ketidakselarasan pendidikan ibu bapa di rumah dengan pendidikan di sekolah.
Situasi ini akan berlaku apabila guru Pendidikan Islam mengajar sesuatu yang tidak menjadi suatu amalan di dalam keluarga murid tersebut. Misalannya, murid diajar tentang kewajipan menunaikan solat walau di mana sahaja berada. Tetapi apabila pulang ke rumah, dia melihat ibu bapanya tidak menunaikan solat. Maka pengaruh ibu bapanya akan melebihi ajaran guru di dalam bilik darjah. Tambahan pula jika guru tersebut tidak mempunyai kualiti dan daya sebagai
seorang pendakwah yang berkesan. (Azman Wan Chik, 1987)
Contoh yang lain ialah di sekolah, guru mengajar berkaitan budi pekerti, atau adab pergaulan dan akhlak yang baik. Umpamanya bercakap dengan menggunakan suara yang lemah lembut, mesra dan saling hormat menghormati, menunaikan suruhan Allah dan nilai-nilai murni yang lain. Namun, lain pula suasana yang wujud di dalam keluarga atau masyarakat pelajar tersebut.
Cara penyelesaiannya :
Dalam menghadapi cabaran di atas, di awal pembelajaran lagi, guru Pendidikan Islam menjelaskan apakah pendidikan Islam, tujuan dan matlamat Pendidikan Islam dan kesan sekiranya tidak mempraktikkan apa yang dipelajari. Guru juga perlu bersungguh-sungguh memikirkan pendekatan, kaedah dan teknik yang sesuai untuk memberi kefahaman yang benar-benar boleh meyakinkan murid bahawa apa yang disampaikan oleh guru di dalam kelas itu adalah benar untuk mengelakkan mereka terpengaruh dengan ibu bapa yang tidak menunaikan ajaran Islam.
Jalan paling mudah dan lebih berkesan untuk menyelesaikan masalah ini ialah apabila ibu bapa menjalankan tugas dan tanggungjawab yang betul dengan memberikan pendidikan tidak formal kepada anak-anak mereka, dan pendidikan tidak formal itu selaras dengan pendidikan formal di sekolah. (Atan Long,1983).
Untuk memberi kesedaran tentang perkara tersebut kepada ibu bapa bukanlah suatu perkara yang senang. Pertemuan antara guru dan ibu bapa boleh diaturkan melalui Persatuan Ibu bapa dan Guru. Melalui pertemuan tersebut,guru Pendidikan Islam perlulah memainkan peranan menyelitkan unsur-unsur Pendidikan Islam dan memberi kesedaran peri pentingnya ibu bapa berpegang dengan ajaran Islam serta kepentingan ibu bapa menyelaraskan pendidikan tidak formal di rumah dengan pendidikan formal di sekolah. Tugas guru bukanlah beralih kepada seratus peratus mengubah masyarakat pula, tetapi usaha semua itu penting demi mencapai tujuan Pendidikan Islam di sekolah agar pembelajaran yang kondusif di dalam bilik darjah dan sekolah secara Islam dapat diwujudkan.
Cabaran : Ketidakselarasan pendidikan masyarakat dengan pendidikan di sekolah.
Menurut Atan Long (1983), kepentingan guru tidak dapat dinafikan kerana boleh dikatakan tiap-tiap ahli masyarakat di dalam zaman moden ini melalui pendidikan yang diberikan oleh guru dan proses pendidikan yang lain. Walaupun pendidikan lain yang berupa pendidikan tidak formal itu penting, tetapi oleh kerana pendidikan formal yang disampaikan di sekolah merupakan pendidikan yang bersistem, maka masyarakat lebih menumpukan harapan kepada pendidikan yang diberikan oleh guru-guru di sekolah. Namun, di dalam banyak hal tidak terdapat keselarasan di antara apa yang dikemukakan di sekolah dengan apa yang diamalkan di dalam masyarakat.
Contohnya guru mengajar tentang haramnya judi, tetapi murid melihat judi berleluasa di dalam masyarakat. Maka, konflik akan timbul dalam diri mereka. Hal ini akan menyebabkan kurangnya kepercayaan mereka terhadap apa yang disampaikan oleh guru di sekolah terutama bagi murid-murid yang masih mentah. (Azman Wan Chik, 1987). Inilah yang dikatakan cabaran kepada guru Pendidikan Islam.
Cabaran : Kurangnya guru-guru mata pelajaran lain untuk turut serta menerapkan nilai-nilai Pendidikan Islam dalam pengajaran mereka.
Mata pelajaran sepatutnya disebut sebagai Pengetahuan Agama Islam. Hal ini kerana ia adalah bahan ilmu yang disampaikan kepada murid sebagai asas kepada Pendidikan Islam.
Apabila guru-guru lain tidak sama-sama cuba menerapkan nilai-nilai Pendidikan Islam dalam diri murid, maka tugas guru Pendidikan Islam akan menjadi berat. Cabaran inilah yang perlu ditempuhi oleh mereka.
Cara penyelesaiannya :
Pendidikan Islam sepatutnya ada dalam setiap mata pelajaran sekolah khususnya guru-guru yang beragama Islam. Umpamanya, dalam pelajaran Ekonomi dan Prinsip Akaun, pada masa yang bersesuaian, guru hendaklah menerapkan unsur Pendidikan Islam iaitu dengan menasihatkan pelajar supaya betul dan tidak ada unsur tipu ketika membuat kira-kira kewangan.
Contoh lain ialah dalam mata pelajaran sejarah, menceritakan tentang kezaliman seseorang pemerintah yang menyebabkan ramai rakyatnya menderita. Akhirnya rakyat bangun memberontak yang menyebabkan ramai yang mati dan cedera. Dari situ guru boleh menasihatkan pelajar supaya jangan jadi penguasa seperti itu kerana ia merosakkan orang lain, dibenci masyarakat dan dikeji oleh Allah. al-Ibrashy,1976 (Dalam Mohd Yusuf Ahmad, 2004).
Cara meminta pelajar-pelajar memikirkan apakah moral sesuatu peristiwa atau kejadian juga merupakan satu pendekatan yang boleh digunakan. (Amla Mohd.Salleh, 1995)
Cabaran : Kekurangan infrastruktur dan prasarana yang lengkap.
Sesetengah sekolah khususnya yang terletak di kawasan pedalaman, masih kekurangan infrastruktur dan prasarana yang lengkap. Semua ini akan menyukarkan guru Pendidikan Islam untuk mewujudkan suasana sekolah yang Islamik. Contohnya tiada kemudahan surau.
Cara penyelesaiannya :
Menurut Razali Ismail (1992), kemudahan dan infrastruktur pendidikan guru perlu disediakan dengan secukupnya. Antaranya kemudahan pusat sumber, pusat penyuburan ilmu, makmal teknologi dan vokesyenal, makmal komputer, bahan rujukan, bilik kuliah, bilik pengajaran mikro, asrama, gimnasium, dewan perhimpunan, perabot, peralatan rekreasi, kenderaan dan staf sokongan.
Mengikut Mohd Yusuf Ahmad (2004), surau sekolah adalah untuk pelajar-pelajar melakukan praktikal ibadat serta kegiatan lain termasuk solat berjemaah, tilawah al-Quran, tazkirah dan lain-lain. Pihak sekolah bertanggungjawab mendirikan surau di sekolah masing-masing. Ini semua adalah untuk memantapkan Pendidikan Islam yang telah diberikan dalam bilik darjah dan juga untuk menghidupkan amalan dan penghayatan Islam secara yang lebih berkesan.
Namun bagi guru Pendidikan Islam yang kreatif, sementara menunggu proses pembinaan surau dibuat, mana-mana bilik darjah yang tidak digunakan, boleh diganti sebagai surau.
PENUTUP
Apa yang ingin ditekankan di sini ialah tugas guru ini amatlah berat. Lebih-lebih lagi sebagai guru Pendidikan Islam. Amanah Allah yang dipikul, hasrat negara yang terbeban di bahu, harapan dari pihak sekolah, kepercayaan yang diberikan oleh ibu bapa, masyarakat yang sentiasa mengharapkan sesuatu yang baik di dalam pendidikan dan sebagainya lagi menjadikan tugas ini semakin rumit.
Seorang pendidik itu perlu berperanan sebagai seorang orang tua yang baik, memiliki sifat kasih sayang, adil dan memiliki ilmu yang mendalam. Guru juga perlu mempunyai hubungan yang harmoni dengan ibu bapa dan pelajar serta bijak mengurus bilik darjah. Namun tugas pendidik bukan hanya terhad di dalam kelas sahaja, tetapi berterusan memantau pelajar walau di mana mereka. Gamal Abdul Nasir Zakaria (2003)
Namun sebagai guru Pendidikan Islam, kita harus berpegang kepada firman Allah mafhumnya, setiap kesulitan itu akan ada kemudahan. Sifat ikhlas dan zuhud iaitu melakukan sesuatu demi mencari keredhaan Allah perlu ada dalam diri setiap guru.
Sepertimana yang disebut oleh Wan Mohd Zahid Mohd Nordin, (1993) bahawa dari segi falsafah, pendidikan ialah satu proses memanusiakan manusia. Dari situ, dapat kita rungkaikan bahawa bukan senang untuk kita mendidik manusia supaya benar-benar dapat menjadi manusia yang berguna kerana manusia ini terdiri dari pelbagai ragam dan karenah. Pelbagai cabaran yang akan kita hadapi samada di bilik darjah ataupun suasana sekolah itu sendiri.
Bilik darjah yang kondusif dan selari dengan prinsip-prinsip ajaran Islam tidak akan dapat diwujudkan apabila suasana sekolah tidak membantu ke arah itu. Malahan impian untuk mewujudkan sekolah yang selari dengan prinsip-prinsip Islam juga tidak dapat dibentuk sekiranya pembentukan nilai-nilai tersebut tidak diasuh di dalam bilik darjah.
Kesimpulannya, keberkesanan bilik darjah saling berkait rapat dengan suasana sekolah yang membantu di samping penglibatan pihak-pihak luar samada bahagian Kementerian Pendidikan, pihak pengurusan sekolah, ibu bapa, masyarakat dan ramai lagi demi mewujudkan bilik darjah dan sekolah selari dengan prinsip-prinsip Islam. Begitu juga peranan sekolah yang akan membantu keberkesanan mewujudkan bilik darjah yang selari dengan prinsip-prinsip ajaran Islam.
RUJUKAN
Abdul Rahim Abdul rashid. (1999). Profesionalisme motivasi pengurusan bilik
darjah. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Ahmad Mohd Salleh. (1999). Pendidikan Islam; Dinamika guru. Selangor: Fajar
Bakti Sdn. Bhd.
Ahmad Mohd Salleh. (2003). Pendidikan Islam : Falsafah, sejarah dan kaedah
pengajaran pembelajaran. Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Amla Mohd Salleh. (1994). Penerapan nilai-nilai murni di dalam pengajaran bilik
darjah: Satu perbincangan tentang isu dan strategi. Dlm. Roshidi Azizan &
Abdullah Mohd Noor. (Ed.), Seminar JKLAU ke-9, Pendidikan guru:
Cabaran, falsafah dan strategi dalam pembentukan guru yang unggul,
Bangi, 15-16 Januari 1994 (hlm. 189) . Selangor : Masa Enterprise
Atan Long. (1983). Peranan guru di dalam pembangunan negara bagi
menyelesaikan masalah-masalah kini. Seminar anjuran Guru-guru
Melayu Malaysia Barat dan Pusat Pendidikan, Universiti Kebangsaan
Malaysia, Bangi, 14 Disember 1983 (hlm.1-3). [s.l.]: [s.n.]
Azman Wan Chik. (1987). Kaedah hayati amali. Kuala Lumpur: Karya Bistari Sdn. Bhd.
Che Noraini Hashim. (2005). Keruntuhan akhlak dan pembangunan remaja masa
kini : Cabaran Pendidikan Islam di Malaysia. Prosiding Wacana Pendidikan
Islam (Siri 4), Pendidikan Islam kea rah kemanusiaan sejagat, Melaka, 25-
26 Jun 2005 (hlm. 27). Bangi, FakultiPendidikan, Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Eng, A. J. (2007). Pengurusan Disiplin Murid. Kuala Lumpur: PTS Professional
Publishing Sdn. Bhd.
Ghazali Darussalam. (2004). Pedagogi Pendidikan Islam. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Ibrahim Mamat. (1997). Memimpin remaja sekolah. : Teori dan praktik. Kuala
Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Ishak Haron. (1993). Perubahan dalam pengurusan pendidikan di Malaysia
menjelang abad ke 21. Dlm. Jawatankuasa Penerbitan Khas Fakulti
Pendidikan (Ed.), Pendidikan di Malaysia: Arah dan cabaran (hlm.
204).Kuala Lumpur : Fakulti Pendidikan Universiti Malaya.
Jabatan Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. (1999). Pengurusan
pendidikan untuk sekolah berkesan daripada perspektif Islam. Dlm.
Marohaini Yusoff, Zulkifli A. Manaf, Aini Hassan, Shahril Marzuki, Ananda
Kumar P. & Abdul Jalil Othman (Ed.), Seminar JPPG Pendidikan guru
untuk sekolah berkesan, 26-28 Oktober 1998 (hlm. 59-64). Kuala Lumpur :
Fakulti Pendidikan Universiti Malaya.
Nik Azis Nik Pa.(1993). Pendidikan Islam era 2020 tasawur dan strategi. Dlm.
Khailani Abdul Jalil & Ishak Ali Shah (Ed.), Persediaan guru Pendidikan
Islam menghadapi negara maju (hlm. 96-98). Selangor : Tekno Edar.
Noresah Baharom, Ibrahim Ahmad, Azizah Supardi, Saidah Kamin, Aziah Tajudn,
Salmah Jabbar, Hairani Mohd Khalid & Rodziah Abdullah. (2007). Kamus
Dewan edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Razali Ismail. (1992). Wawasan 2020 : Cabaran kepada pendidik guru. Minggu
budaya dan wacana pendidikan, 15-17 September 1992 (hlm. 12) Kota
Bharu : Maktab Perguruan Kota Bharu.
Sang M. S. (2008). Pengurusan hal ehwal murid. Selangor: Penerbitan
Multimedia Sdn. Bhd.
Shahabuddin Hashim, Rozihani Yaakub & Mohd Zohir Ahmad. (2007). Strategi
dan teknik mengajar berkesan. Kuala Lumpur: PTS Professional
Publishing Sdn. Bhd.
Shahril Marzuki & Habib Mat Som. (1999). Isu pendidikan di malaysia; Sorotan
dan cabaran. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Syed Muhammad Naquib al-Attas, (1999) The concept of education in Islam.
Kuala Lumpur: Third Impression by the International Institute of Islamic
thought and civilization (ISTAC). pg.13
Wan Mohd Zahid Mohd Nordin, (1993). Pendidikan Islam era 2020 tasawur dan strategi. Dlm. Khailani Abdul Jalil & Ishak Ali Shah (Ed.), Persediaan guru Pendidikan Islam menghadapi negara maju (hlm. 96-98). Selangor : Tekno Edar.
Zawawi Ahmad. (1996). Sains dalam Pendidikan Islam. Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka
Labels: Pendidikan Islam