::Falsafah Pendidikan Malaysia::
Wednesday, March 25, 2009
Kepentingan Pengaplikasian Multimedia dalam Pengajaran Pendidikan Akhlak Islam
Oleh
Basiroh binti Abdul Manas, Afifah binti Abu Bakar & Nurul Jannah binti Bakhori
Program Pendidikan Islam
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
50603 Kuala Lumpur
( Syirah_86@yahoo.com, arysha_86@yahoo.com & qisasul_jannah@yahoo.com)
ABSTRAK
The main purpose this paper task is to expose about the Essential the Multimedia’s Using in Good Behaviour Education. It will uses the text, graphic, audio,video and animation in teaching and learning’s good behaviour process. This paper task is so usefull as a reference to the teachers, parents and nursemaids.
KATAKUNCI
Kepentingan Pengaplikasian Multimedia. Pendidikan Akhlak.Pendidikan Islam
PENGENALAN
Keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang melanda merunsingkan semua pihak. Gejala Punk, Pengkid, Black Metal dan sebagainya lagi bukanlah masalah baru, tetapi masalah yang telah muncul sejak sekian lama dahulu tetapi masih berleluasa kepada remaja kita sehingga kini. Ada sesetengah pihak yang hanya menuding jari menyalahkan pihak yang lain. Hakikatnya semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi membanteras masalah keruntuhan akhlak ini. Nilai seorang remaja Islam adalah terletak pada akhlaknya. Bahkan jatuh bangun sesebuah negara pada masa akan datang juga boleh dijangka pada akhlak remaja pada masa sekarang.
Oleh kerana itu, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan menunjukkan contoh akhlak yang baik di hadapan anak-anak mereka. Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:
”Anak-anak dilahirkan dengan fitrah suci, maka terpulanglah kepada kedua ibu bapanya untuk menjadikannya seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi.”
(Hadis diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)
Pihak sekolah, ibu bapa, guru atau sesiapa sahaja perlu sama-sama membantu dalam usaha menjadikan pelajar minat untuk belajar . (Ibrahim Mamat, 1997:84) Apabila masa mereka dihabiskan dengan belajar dan melakukan perkara-perkara yang berfaedah, ini akan menyelamatkan mereka dari terjebak dengan masalah sosial.
Selain itu, kaedah pendidikan yang digunakan oleh guru mestilah menarik, memberangsangkan dan sesuai dengan arus zaman moden ini dalam membentuk akhlak dan keperibadian mereka. (Abdul Rahim Abd Rashid, 1999:98)
PENDIDIKAN AKHLAK ISLAM
Miqdad Yakhin mentakrifkan akhlak ialah prinsip-prinsip dan dasar atau kaedah yang ditentukan oleh wahyu untuk merealisasikan ketertiban dalam pelakuan dan membatasi (bentuk) hubungan dengan orang lain sehingga mencapai matlamat kewujudan di dunia dengan cara yang paling sempurna. Bagi pandangan Mohd. Jawad Ridha (1972) dalam (Ahmad Mohd. Salleh, 2004:17) menyatakan bahawa akhlak ialah sifat terpuji yang sepatutnya dimilki oleh setiap orang. Sesebuah masyarakat tidak akan maju sekiranya ia tidak memiliki akhlak yang terpuji, kerana akhlak yang terpuji bermatlamat mendidik manusia ke arah mencapai kemajuan dalam kehidupan.
(Ghazali Darussalam, 2004:296) berpandangan bahawa pendidikan akhlak hendaklah diajar sejak anak-anak di peringkat kecil hinggalah ke peringkat akil baligh (dewasa) apabila segala tuntutan syarak telah terpikul di bahunya. Menurut Imam Ghazali:
”Pendidikan akhlak akan dapat memindahkan peribadi dan memperluaskan budi pekerti serta dapat mendekatkan diri kepada Allah dan mencapai tingkat kemuliaan.”
Pendidikan akhlak bertujuan untuk melahirkan insan yang berkeperibadian dan berwibawa tinggi sesuai dengan keperibadian Islam itu sendiri. Ia juga adalah untuk membentuk kesempurnaan diri manusia sehingga mencapai keindahan nafsani yang kekal abadi. (Ahmad Mohd. Salleh, 2004:17)
Dengan mendapat pendidikan akhlak yang sempurna, seseorang itu dapat membiasakan diri supaya bersifat terpuji dan menjauhi sifat-sifat keji dan tercela. Melalui pendidikan akhlak juga, ia dapat menanamkan rasa kemanusiaan yang mulia seperti bersifat belas kasihan, gemar menolong dan berbakti tanpa mengharapkan balasan. Seseorang itu juga dapat mengelakkan diri daripada meniru gaya orang musyrik yang tidak berakhlak serta dapat menghindarkan diri daripada mengikut jejak syaitan. Selain itu,ia juga dapat mendidik manusia agar memiliki disiplin diri sesuai dengan syariat Islam, menjaga kehormatan dan kemuliaan diri serta menjauhi perkara-perkara yang boleh membawa kepada kerosakan diri. Bahkan dengan pendidikan akhlak juga dapat mendidik seseorang itu agar sentiasa bermuhasabah dan membuat refleksi diri agar sentiasa menjaga diri supaya tidak terkeluar daripada batasan syarak. (Ghazali Darussalam, 2004: 297-298)
MULTIMEDIA
Menurut (Jamalludin Harun dan Zaidatun Tasir, 2003:2) definisi multimedia adalah subjektif. Ia sering diberi pengertian ataupun tafsiran mengikut kaca mata individu ataupun kumpulan tertentu. Sebagai contoh, pengertian multimedia yang diberikan oleh orang yang terlibat dalam bidang hiburan mungkin berbeza dengan pengertian multimedia yang diberikan oleh orang yang terlibat dalam pendidikan.
Multimedia membawa pengertian kepelbagaian media.(Vivi Lachs, 2004:4) Ia adalah integrasi pelbagai media termasuk teks, audio, grafik, video, animasi berbentuk digital yang disampaikan melalui mikropemproses pada peranti paparan. ( Rozinah Jamaludin, 2005:4) Ia bukan sahaja boleh ditayangkan di paparan skrin komputer tetapi boleh juga disambungkan ke monitor televisyen atau ditayangkan di paparan skrin komputer di kalangan pengguna dengan mengunakan komputer sebagai alat kawalan persembahan untuk membolehkan proses pembelajaran secara signifikan dan menghidupkan suasana maklumat. (Ismail Zain, 2002:25)
KOMPONEN DALAM MULTIMEDIA
Terdapat lima komponen dalam multimedia iaitu teks, grafik, video, audio dan animasi. (Sulaiman Md.Yassin, Mohd Salleh Lebar & Azlina Abu Bakar, 2002:32) Teks digunakan dalam tajuk utama isi dan arahan topik. Grafik pula digunakan untuk menambahkan visual dan menerangkan konsep yang tidak dapat diterangkan dengan teks. Hal ini kerana “sekeping gambar mengambarkan seribu bahasa.” Audio pula adalah untuk menambahkan suasana dengan muzik kesan bunyi “voice-over” sebagai komunikasi idea. Manakala video dan animasi pula masing-masing adalah untuk menunjukkan gambar secara realistik dan menghidupkan projek dalam suasana realistik. ( Rozinah Jamaludin, 2000:19-20)
FUNGSI MULTIMEDIA DALAM PENDIDIKAN ISLAM
Terdapat pelbagai fungsi multimedia dalam Pendidikan Islam. Antaranya ialah
membuat pengajaran lebih tersusun. Untuk membuat media dalam pengajaran, guru perlu merancang dengan lebih sistematik terlebih dahulu supaya pengajaran lebih tersusun.
Ia juga dapat memperkayakan pengalaman murid. Contohnya jika murid tidak pernah melihat masalah sosial remaja yang terlibat dengan masalah rempit, guru dapat menayangkan video berkaitan masalah tersebut. Maka murid dapat memperkayakan pengalaman mereka dan menjadikan pembelajaran tersebut lebih dekat. (Syarifah Alwiah Alsagoff, 1984:29)
Di samping itu, multimedia menjadikan pengajaran lebih menarik. Kejelasan dan pertalian sesuatu mesej, daya tarikan imej yang berubah-ubah, penggunaan kesan khas, dan impak idea yang boleh membangkitkan keinginan untuk tahu menyebabkan penonton ketawa atau memikirkannya dengan mendalam. Kesemua ini akan menyumbangkan kepada aspek media pengajaran yang memberi dorongan dan menimbulkan minat.
Pembelajaran juga akan menjadi lebih interaktif melalui penggunaan teori pembelajaran yang telah diterima. Kandungan media pengajaran boleh dikelolakan dan disampaikan dalam suatu cara yang mewakili pengajaran yang baik. Apabila merekabentuk media, pertimbangan boleh diberikan kepada prinsip seperti penglibatan pelajar, maklum balas, dan pengukuhan untuk melibatkan pelajar secara aktif dalam pengalaman pembelajaran tersebut. Interaksi berterusan antara pelajar dan media boleh menghasilkan pengajaran yang lebih berkesan dan memajukan pembelajaran pada tahap intelek yang tinggi. (Jerrold E.Kemp & Don C. Hassan, 1997:4)
Selain itu, panjang masa yang diperlukan untuk pengajaran boleh dikurangkan. Kebanyakan media memerlukan masa yang singkat untuk menyiarkan mesejnya. Namun, sejumlah besar maklumat boleh dihubungkan kepada pelajar dan diambil oleh pelajar itu. (Rozinah Jamaludin, 2000:21)
KESAN PENGGUNAAN MULTIMEDIA DALAM PENDIDIKAN AKHLAK
Penggunaan multimedia akan memberi kesan dalam pendidikan akhlak. Ia dapat dilihat melalui perkaitan antara komponen-komponen di dalam multimedia dengan fungsi multimedia itu sendiri. Sebagai contohnya di dalam proses pengajaran pendidikan akhlak, apabila komponen-komponen tersebut digunakan dengan cara yang sempurna, kita akan dapat lihat fungsi multimedia tersebut berperanan. Ini akan memberi kesan kepada penggunaan multimedia dalam pendidikan akhlak.
Namun begitu, guru sebagai fasilitator tetap perlu memainkan peranannya dengan baik. Contohnya di dalam pengajaran pendidikan akhlak, penggunaan teks akan memainkan peranan penting dalam menyalurkan informasi kepada pelajar. Guru perlu mengelakkan dari menggunakan bentuk tulisan yang datang daripada keluarga huruf Sans Serif kerana bentuk tulisan ini kurang sesuai digunakan dan pengajaran. Contohnya Mojo, Party LET, Jokerman, Bickley Script LET dan Bertram LET. (Ismail Zain, 2002:45) Selain itu, grafik yang merupakan persembahan imej atau paparan video yang tidak bergerak seperti gambar, tulisan, lakaran, gambar foto, ilustrasi dan sebagainya akan membolehkan maklumat disampai dengan cepat dan berkesan. Ia juga akan menjadikan maklumat lebih menarik dan menfokuskan perhatian pelajar terhadap maklumat yang ingin disampaikan.
Audio adalah salah satu daya tarikan yang berkesan bagi menarik perhatian seseorang. Audio dalam sistem multmedia adalah rakaman suara, suara latar, muzik, kesan khas audio dan sebagainya. Ia akan membantu proses penyampaian pesembahan supaya lebih mantap dan berkesan. Ia juga dapat meningkatkan motivasi supaya lebih berminat mengikuti prses penyampaian maklumat. Malahan ia dapat menimbulkan suasana yang menarik dan dapat menghasilkan tumpuan yang lebih terhadap apa yang dipersembahkan. (Jamalluddin Harun & Zaidatun Tasir, 2003: 3-6)
Manakala video pula adalah gabungan pelbagai media seperti teks, grafik, audio dan sebagainya dalam satu medium. (Ismail Zain, 2002:27) Ia boleh mempengaruhi motivasi dan mewujudkan suasana realistik kepada para pelajar. Ini secara tidak langsung mempengaruhi perasaan dan emosi pelajar dengan lebih nyata.
Penggunaan animasi pula adalah proses menjadikan sesuatu objek supaya kelihatan hidup ataupun memberi gambaran bergerak kepada sesuatu yang pada dasarnya adalah statik. Ia membolehkan perkara yang sukar diterangkan dengan menggunakan perkataan atau imej-imej statik disampaikan dengan mudah dan berkesan. Ia juga akan menceriakan penyampaiannya. Persembahan itu akan lebih realistik berbanding penggunaan teks semata-mata apabila menggunakan animasi. (Jamalluddin Harun & Zaidatun Tasir, 2003: 6)
CONTOH SITUASI
Dalam sebuah kelas, guru Pendidikan Islam akan mengajar berkaitan akhlak terhadap ibu bapa. Ia merangkumi dua aspek iaitu akhlak di dalam pergaulan dan akhlak di dalam percakapan. Objektif utama pelajaran tersebut ialah supaya pelajar dapat menyenaraikan akhlak terhadap ibu bapa dan dapat membezakan antara akhlak baik dan buruk terhadap ibu bapa. Namun, apa yang lebih penting dan sebagai objektif jangka panjangnya ialah supaya pelajar mempunyai kesedaran menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa lantas akan mempunyai perasaan untuk berakhlak terhadap ibu bapa.
Untuk mencapai objektif tersebut dan menjadikan pengajaran lebih berkesan, guru tersebut digalakkan menggunakan kemudahan multimedia. Oleh itu di awal pembelajaran guru dapat menayangkan video berkaitan senario akhlak yang baik terhadap ibu bapa. Contohnya ialah bercakap dengan suara yang lembut terhadap ibu bapa, menziarahi mereka ketika sakit dan sebagainya lagi. Kemudian dibawakan contoh di dalam video yang sama iaitu berkaitan seorang anak yang tidak beradab dengan ibu bapa. Ditengkingnya mereka apabila bercakap bahkan tidak menziarahi mereka apabila sakit. Setelah itu, untuk memberi kesan yang lebih mendalam, gambarkan di situ perasaan seorang ibu dan ayah apabila mempunyai anak yang berakhlak sebegitu. Di sini faktor pemilihan alunan muzik yang tepat ketika memainkan video tersebut amat penting agar dapat mengetuk jiwa pelajar untuk menghayati video tersebut. Didatangkan juga dalil agar mentaati kedua ibu bapa dengan menggunakan suara latar untuk mengukuhkan kewajipan akhlak tersebut. Di dalam pengendalian ini, pemilihan kata, warna, bentuk tulisan, animasi dan grafik yang sesuai adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian. Kandungan teks mestilah tidak terlalu padat. Pemilihan teks yang kabur dan mengelirukan akan menyukarkan pemerhatian pelajar dan ini akan membawa kepada kurangnya keberkesanan pengajaran dan pembelajaran tersebut. Faktor masa juga perlu diambil kira untuk mengelakkan pelajar cepat bosan.
Hal ini kerana penayangan video yang seolah-olah menyerupai kehidupan mereka seharian akan menjadikan pelajar-pelajar rasa dekat dengan senario tersebut. Untuk menilai kefahaman murid, di dalam slide pengajaran guru perlu meletakkan gambar-gambar yang berkaitan akhlak dan meminta pelajar menyatakan samada akhlak tersebut adalah akhlak yang baik atau gambar tersebut berada dalam kategori akhlak buruk.
Di akhir pengajaran, guru boleh mendatangkan kisah untuk melihat perbandingan akibat menjadi seorang anak yang berakhlak baik dengan akibat menjadi seorang anak yang berakhlak buruk. Contohnya, kehidupan anak-anak yang berakhlak baik ini akan lebih tenang dan bahagia. Manakala kehidupan anak-anak yang tidak berakhlak pula tidak akan tenteram dan berkemungkinan anak-anak mereka juga akan berakhlak sebagaimana akhlak mereka terhadap ibu bapa.
Mengikut ilmu psikologi, salah satu kecerdasan yang diperolehi oleh manusia ialah kecerdasan muzik iaitu yang berkaitan dengan bunyi. Oleh itu bunyi yang merupakan salah satu cara dalam saluran komunikasi juga dapat membantu menyampaikan input kepada pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan dengan itu, ketika berucap untuk membuat kesimpulan akhir pengajaran pendidikan akhlak ini, guru boleh memainkan lagu dalam bentuk minus one untuk meningkatkan lagi penghayatan terhadap tajuk pengajaran hari itu iaitu berkaitan akhlak terhadap ibu bapa.
KESIMPULAN
Pengaplikasian multimedia dalam pengajaran pendidikan akhlak Islam sangat penting kepada kedua-dua pihak samada guru ataupun pelajar. Kepentingan pengaplikasian multimedia kepada guru ialah supaya objektif pengajaran pendidikan akhlak akan berkesan dan mudah dicapai melalui komponen dan fungsi yang dimainkan oleh multimedia itu sendiri di mana ia akan membawa kepada kesan penggunaan multimedia dalam pengajaran pendidikan akhlak Islam.
Kepentingan pengaplikasian multimedia kepada pelajar pula ialah supaya dapat memahami isi pengajaran yang disampaikan dan seterusnya mencapai objektif yang digariskan dengan cara yang lebih berkesan.
Secara kesimpulannya ialah, kertas kerja ini membincangkan tentang kepentingan pengaplikasian multimedia dalam pengajaran Pendidikan Islam. Penggunaan multimedia ini adalah pelengkap kepada kaedah pengajaran tradisional yang diamalkan di sekolah pada masa kini. Para pendidik samada guru, ibu bapa, penjaga atau pengasuh seharusnya sedar akan kepentingan multimedia ini untuk menanamkan sifat-sifat akhlak mulia di dalam diri pelajar.
Dengan pengaplikasian multimedia dalam pengajaran pendidikan akhlak Islam ini, guru akan dapat menyangkal khabar angin yang selalu mengatakan bahawa pengajaran Pendidikan Islam tidak berupaya memberi suatu bentuk pembelajaran yang menyeronokkan dan menghasilkan generasi produktif yang benar-benar menghayati ajaran Islam.(Abd Ghani & Norashimi, 1997:146)
RUJUKAN
Abd Ghani & Norashimi. (1997). Sekolah Bestari dari Perspektif Islam dan Perisian
Multimedia dalam Pengajaran Pendidikan Islam. Seminar Kebangsaan
Teknologi Maklumat Dalam Pendidikan Islam 9-11 September, 1997 (pp. 146)
Kuala Lumpur : Maktab Perguruan Islam
Abdul Rahim Abdul Rashid. (1999). Profesionalisme motivasi pengurusan bilik
darjah. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Ahmad Mohd. Salleh. (2004). Pendidikan Islam; Falsafah, Sejarah dan Kaedah
Pengajaran Pembelajaran. Selangor : Penerbit Fajar Bakti.
E.K. Jerrold & Hassan D. C.(Eds). (1997). Perancangan, Penerbitan dan Penggunaan
Media Pengajaran. (2nd Ed.) Johor : Universiti Teknologi Malaysia.
Ghazali Darussalam. (2004). Pedagogi Pendidikan Islam. Kuala Lumpur : Utusan
Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Ismail Zain. (2002). Aplikasi Multimedia dalam Pengajaran. Kuala Lumpur : Utusan
Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Jamalludin Harun dan Zaidatun Tasir. (2003). Multimedia dalam Pendidikan. Kuala
Lumpur : PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
L. Vivi. (Eds). (2004). Multimedia di dalam Bilik Darjah. Kuala Lumpur : Institut
Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
Rozinah Jamaludin. (2000). Asas-asas Multimedia dalam Pendidikan. Kuala Lumpur :
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Rozinah Jamaludin. (2005). Multimedia dalam Pendidikan. Kuala Lumpur : Utusan
Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Sang M. S. (2008). Pengurusan Hal Ehwal Murid. Selangor: Penerbitan
Multimedia Sdn. Bhd.
Syarifah Alwiah Alsagoff. (1984). Teknologi Pengajaran. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Sulaiman Md Yassin, Mohd Saleh Lebar & Azlina Abu Bakar. (Eds). (2002).
Komunikasi dalam Pengajaran dan Kepimpinan Pendidikan. Selangor : Karisma
Publications Sdn. Bhd.
Labels: Pendidikan Islam