::Falsafah Pendidikan Malaysia::

Photobucket
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

::Ukhuwwah Selamanya::

Wednesday, March 25, 2009

DISIPLIN PELAJAR

PENGENALAN ISU YANG DIPILIH

Isu disiplin banyak terpapar di dada-dada akhbar, majalah, ditulis di blog-blog, menjadi tajuk-tajuk pilihan tesis dan sebagainya. Namun sejauh manakah kita memberi perhatian dan mengambil berat isu ini samada sebagai seorang guru, pelajar, ibu bapa dan masyarakat?. Dari situ kita dapat timbulkan satu persoalan, mengapa isu disiplin ini sering diutarakan?. Apakah kepentingannya kepada pembentukan diri pelajar dan apakah kesannya kepada negara?.
Isu disiplin yang terbaru ialah pada 25 September 2008, dikeluarkan kenyataan bahawa masalah salah laku disiplin murid menurun pada kadar purata 2.03 peratus dalam tempoh lima tahun sejak 2003 melibatkan 5.4 juta murid seluruh negara. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, penurunan itu berjaya dicapai selepas kementerian melaksanakan beberapa program untuk menangani masalah disiplin termasuk pelaksanaan sistem aduan disiplin. Katanya, berdasarkan statistik menunjukkan kes salah laku murid menurun dari setahun ke setahun sebanyak 1.53 peratus dilaporkan pada 2006, 1.33 peratus (2007) dan 1.27 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. Penurunan masalah disiplin itu berlaku hasil daripada tindakan yang diambil oleh Jawatankuasa Menangani Gejala Disiplin yang diwujudkan oleh kementerian bagi menangani gejala berkenaan. (Utusan Malaysia, 26 September 2008)
Penurunan kadar peratus salah laku ini menunjukkan bahawa kesedaran dan keprihatinan semua pihak tentang pentingnya disiplin ini sudah timbul. Misalannya, e-Disiplin di semua sekolah menengah iaitu sistem pengurusan masalah disiplin pelajar secara berkesan dan sistematik berasaskan teknologi web akan mula diperluaskan kesemua 2100 sekolah menengah seluruh negara. Sistem ini telah dibangunkan oleh Universiti Malaysia Terengganu dengan kerjasama Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional (Mapan). (Utusan Malaysia, 5 Mei 2008) .Ini menunjukkan bahawa isu disiplin ini mendapat keprihatinan dari semua pihak dan membuktikan bahawa ada usaha-usaha dilaksanakan untuk menangani masalah ini. Pelbagai program dilaksanakan sejak dahulu lagi sehingga kini.
Namun heboh pula masalah buli siber di sekolah di mana ia merupakan satu cabaran baru di sekolah. Juga dinyatakan di dalam Utusan Malaysia, 5 Mei 2008. Masalah ponteng sekolah, merokok, penyalahgunaan dadah yang masih berlaku dan lain-lain lagi.
Dari situ,kita dapat buat kesimpulan bahawa walaupun kadar peratusan masalah salah laku ini telah menurun, semua pihak harus ada usaha berterusan bagi menjadikan kes disiplin sifar. Ketidakpedulian kita akan memberi ruang dan peluang kepada masalah disiplin baru untuk muncul. Semua ini perlu diberi perhatian dan ambil berat kerana pelajar sekolah bukan sekadar pelajar sekolah dan terus kekal begitu, tetapi mereka yang bakal meningkat menjadi pemimpin-pemimpin negara suatu hari kelak. Disiplin itu perlu dibentuk sejak dari kecil. Bak kata pepatah, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.



KONSEP DISIPLIN

Disiplin mempunyai pelbagai tafsiran. Antaranya tafsirannya ialah disiplin ini merujuk kepada kawalan diri, kawalan dari luar, patuh kepada autoriti, keadaan tempat bekerja yang teratur, urusan yang sistematik, cara yang menetapkan peraturan atau hukuman dengan berkesan.
Selain itu disiplin juga ditakrifkan sebagai perihal ketenteraman dan peraturan di dalam sesuatu kumpulan, termasuk cara-cara mendapatkan ketenteraman dan peraturan itu, serta hukuman.

TUJUAN DISIPLIN DI SEKOLAH

Disiplin adalah satu keperluan kepada pelajar supaya dapat berfungsi dengan baik.(Charles H.Madsen & Clifford K. Madsen, 1970) Jika dilihat dari konteks sekolah, disiplin merupakan peraturan-peraturan yang dikenakan ke atas pelajar-pelajar dengan tujuan untuk mengawal tingkah laku mereka melalui hukuman atau ganjaran. Oleh kerana itu, disiplin bilik darjah merupakan peraturan-peraturan yang dikenakan ke atas pelajar-pelajarnya supaya berkelakuan baik dan dapat mendisiplinkan diri semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Apabila pelajar-pelajar dapat mendisiplinkan diri, suasana pembelajaran yang sistematik, teratur dan lancar tanpa sebarang gangguan dapat dijalankan. (Mok Soon Sang, 2008)
Menurut ( Ang Jit Eng 2007) Moles 1989 menegaskan dua objektif utama kewujudan disiplin di sekolah adalah:
Memastikan keselamatan dan kesejahteraan staf dan murid.
Mewujudkan suasana yang kondusif untuk pembelajaran.

Gangguan disiplin berupa salah laku murid yang serius dapat menggagalkan kedua-dua objektif ini selain daripda menyebabkan insiden-insiden itu tersiar di media massa. Oleh yang demikian, pengurusan dan pengawalan disiplin murid adalah suatu tanggungjawab pihak sekolah yang penting. Dalam buku Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), disiplin bermaksud:

Kesanggupan seseorang individu menghormati dan mematuhi undang-undang, sama ada disiplin itu dikenakan dari luar atau dengan kerelaan sendiri.
Kesanggupan seseorang bekerja atau membuat sesuatu dengan tertib.
Kesanggupan seseorang menghormati hak inidividu lain,
Kesanggupan seseorang mengamalkan tingkah laku yang baik dan tidak mengganggu kepentingan orang lain.
Kesanggupan hormat-menghormati di antara satu dengan lain dan mempunyai semangat tolong-menolong.
Kesanggupan membaiki keadaan yang sedia ada menerusi usaha yang membina.
Kesanggupan berkhidmat kepada masyarakat.
KEPENTINGAN UMUM DISIPLIN

Disiplin merupakan satu bentuk kawalan sosial untuk mewujudkan suasana yang tenteram dan teratur samada dalam masyarakat ataupun sekolah. Dengan adanya disiplin, masyarakat dapat hidup dalam dengan aman,tenteram,harmoni dan melancarkan segala aktiviti harian. (Ang Jit Eng, 2007)

JENIS-JENIS DISIPLIN

Disiplin terbahagi kepada empat jenis yang utama iaitu:-
Disiplin arahan guru
Disiplin arahan kerja
Disiplin arahan kumpulan
Disiplin arahan diri

Disiplin arahan guru

Disiplin arahan guru adalah cara dan tuasguru menentukan arahan dan peraturan, mengawal dan memastikan setiap pelajar mematuhinya. Tindakan akan diambil kepada pelajar yang melanggar sebarang peraturan yang telah ditetapkan. Sebagai pengurus bilik darjah, guru bertanggungjawab dalam merancang, mengelola, mengarah dan mengawal hal-hal yang berkaitan dengan disiplin pelajar. Guru mungkin bersikap autokratik dalam mengawal disiplin pelajar. Namun guru perlu membuat pertimbangann sebaik mungkin dalam hal berkaitan disiplin supaya ia tidak menjejaskan hubungan antara guru dan pelajar atau menyebabkan mereka takut untuk mencuba sesuatu yang baru atau bertindak memberontak. Jadi, motivasi kendiri berkaitan disiplin sangat pelu digalakkan. (Shahabudin Hashim, Rozihani Yaakub, Mohd Zohir Ahmad, 2007)

Disiplin arahan kerja

Disiplin arahan kerja wujud apabila sesuatu tugasan yang diberikan diberikan oleh guru kepada murid dan perlu diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan. Disiplin ini dibentuk berdasarkan kesedaran keperluan dan tanggungjawab dan mempunyai kebaikan kepada pelajar-pelajar yang mematuhi arahan dan dapat menyiapkan tugasan mengikut jadual yang ditetapkan.

Disiplin ini mempunyai ciri motivasi yang positif. Hal ini kerana ia menggalakkan pelajar menyelesaikan tugasan demi kebaikan dan kepentingan sendiri. Namun,tidak semua pelajar dapat mnyelesaikan tugasan seperti yang diajdualkan. Oleh sebab itu, disiplin arahan kerja ini dapat diwujudkan apabila tugasan yang diberikan itu menarik, bermakna, sesuai dengan umur dan keupayaan pelajar dan dapat disiapkan dalam tempoh yang diberikan. (Mok Soon Sang, 2008)

Disiplin arahan kumpulan

Disiplin arahan kumpulan merujuk kepada disiplin yang dihasilkan daripada kawalan rakan-rakan dalam kumpulan yang sedia ada atau kumpulan yang dibentuk untuk menjalankan aktiviti pembelajaran. Pembentukan biasanya berasaskan kepada nilai, kepercayaan dan norma yang sama antara ahli kumpulan. Mana-mana ahli kumpulan yang tidak dapat mematuhi nilai kumpulan akan disingkirkan. Kumpulan sebegini boleh digunakan oleh guru untuk membantunya mengawal disiplin bilik darjah. Ketua kumpulan yang dilantik berperanan dalam mengawal disiplin kerja ahli kumpulannya yang lain. (Shahabudin Hashim, Rozihani Yaakub, Mohd Zohir Ahmad, 2007)

Disiplin arahan diri

Disiplin arahan diri berlaku apabila pelajar dapat mematuhi peraturan sekolah secara sukarela. Disiplin ini diwujudkan atas kesedaran bahawa mematuhi peratuan-peraturan sekolah adalah untuk kebaikan pelajar sendiri. Ia wujud secara tidak sedar apabila pelajar telah mencapai tahap kematangan iaitu boleh berfikir secara rasional. Selain itu, nilai disiplin jenis ini juga dapat dibentuk oleh guru melalui latihan dan bimbingan seperti menerangkan kebaikan mematuhi peraturan yang ditetapkan, menerapkan nilai-nilai murni seperti adil,saling hormat-menghormati, bertimbang rasa, toleransi dalam sebarang aktiviti samada aktiviti pengajaran dan pembelajaran atau aktiviti kokurikulum.

Disiplin arahan diri ini adalah yang paling berkesan dalam pengurusan bilik darjah. Masalah disiplin di sekolah dapat diturunkan ke paras minimum apabila mereka sedar kepentingan mematuhi disiplin. (Mok Soon Sang, 2008)

MASALAH DISIPLIN MASA KINI

Masalah disiplin selalu berlaku samada samada di dalam sekolah atau dalam bilik darjah. Semua ini kerana pelajar-pelajar terdiri daripada pelbagai latar belakang, mempunyai sahsiah, intelek, jasmani, rohani dan sosioekonomi yang berbeza. Masalah-masalah yang timbul pada masa kini dapat dikategorikan kepada empat bahagian iaitu :-
Jenayah
Kelakuan negatif
Membolos
Menipu

Jenis-jenis masalah disiplin yang tergolong dalam kategori jenayah ialah merosakkan harta benda sekolah, mencuri, berjudi, berlawan, memeras ugut, menyertai kongsi gelap, menyalahgunakan dadah, menumbuk guru, bergaduh, membaca atau melukis gambar lucah.
Jenis-jenis masalah disiplin yang tergolong dalam kategori kelakuan negatif pula ialah berambut panjang, memakai sepatu dan stokin berwarna, baju T, berkuku panjang, menghisap rokok, bercakap kasar, berbual-bual dengan dialek, tidak menghormati guru, makan dalam bilik darjah, membuat bising, membuli rakan yang lemah, tidak membawa buku, tidak membuat tugasan, menentang arahan guru.
Jenis-jenis masalah disiplin yang tergolong dalam kategori membolos ialah ponteng kelas, ponteng sekolah,ponteng aktiviti kokurikulum, datang lambat ke sekolah, makan di kantin semasa waktu pelajaran, lewat ke perhimpunan sekolah, berkhayal atau tidur dalam bilik darjah.
Manakala jenis-jenis masalah disiplin yang tergolong dalam kategori menipu pula ialah meniru di dalam ujian atau peperiksaan, menyalin kerja murid lain, tidak menghantar buku latihan untuk diperiksa, menulis dan menandatangani sendiri surat ibu bapa, menandatangani sendiri buku kemajuan, bercakap bohong, berpura-pura sakit. (Mok Soon Sang, 2008)
Masalah-masalah disiplin ini juga berlaku di dalam bilik darjah. Ia Dapat diklasifikasikan kepada dua kategori iaitu :-
Semasa pengajaran dan pembelajaran.
Contohnya melawan dan tidak menghormati guru, membaca bahan-bahan lain, mengeluarkan kat-kata kesat, makan, membuat bising atau bergerak bebas di dalam bilik darjah, mengganggu pengajaran dan pembelajaran,tidak membuat kerja seperti yang diarahkan, ponteng kelas dan lewat masuk ke kelas.
Di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (semasa ketiadaan guru)
Contohnya melawan dengan ketua tingkatan atau pengawas, membuli rakan, berkeliaran, makan, membuat bising, merosakkan harta benda seperti kerusi, meja, papan kenyataan, menipu(melibatkan wang)rakan, mengeluarkan kata-kata lucah dan mencuri. (Shahabudin Hashim, Rozihani Yaakub, Mohd Zohir Ahmad, 2007)
Menurut (Mok Soon Sang, 2008) Laporan Disiplin Pelajaran Sekolah Malaysia, data jenis salah laku di sekolah yang dikumpulkan dari semasa ke semasa oleh Kementerian Pelajaran adalah diturunkan seperti berikut:

Salah Laku Pelajar-pelajar di Peringkat Sekolah Rendah

Salah laku yang berlaku di peringkat sekolah rendah dapat dibahagikan kepada 8 kategori iaitu kategori jenayah, lucah,kemasan diri, tidak pentingkan masa, kurang sopan, laku musnah, tidak jujur dan ponteng.

Jenis salah laku yang merangkumi kategori jenayah ialah berjudi,mencuri, melawan guru, melawan pengawas, peras ugut, membuli, mengancam murid.
Jenis salah laku yang merangkumi kategori lucah ialah menggunakan kata-kata lucah, melukis gambar lucah dan membaca komik lucah.
Jenis salah laku yang merangkumi kategori kemasan diri ialah berambut panjang, rambut berwarna dan kurang kemas, berkuku panjang, berpakaian tanpa mengikut peraturan sekolah, memakai kasut kotor.
Jenis salah laku yang merangkumi kategori tidak pentingkan masa ialah berkeliaran, lewat ke perhimpunan sekolah, makan di luar masa rehat, berbual-bual atau buat bising dalam bilik darjah, tidak buat kerja sekolah mengikut masa.
Jenis salah laku yang merangkumi kategori kurang sopan ialah berkasar dengan guru,pengawas atau murid, berbahasa kesat, menyimpan atau menghisap rokok, mengganggu pengajaran,tidak hormat guru atau pengawas, kelakuan kurang sopan.
Jenis salah laku yang merangkumi kategori laku musnah ialah merosakkan harta benda sekolah, guru dan murid.
Jenis salah laku yang merangkumi kategori tidak jujur ialah menipu (melibatkan wang), menipu sekolah, guru dan murid.
Jenis salah laku yang merangkumi kategori ponteng ialah ponteng kelas, sekolah, aktiviti kokurikulum, kelas tambahan dan aktiviti sekolah.

Salah Laku Pelajar-pelajar di Peringkat Sekolah Menengah

Salah laku yang berlaku di peringkat sekolah menengah adalah lebih kurang sama juga sepertimana salah laku yang berlaku di peringkat sekolah rendah di mana ia terdiri daripada 8 kategori iaitu kategori jenayah, lucah,kemasan diri, tidak pentingkan masa, kurang sopan, laku musnah, tidak jujur dan ponteng.Namun salah lakunya adalah lebih berat dan rumit iaitu:-

1. Jenis salah laku yang merangkumi kategori jenayah ialah berjudi, melawan guru, pengawas dan pelajar, memeras ugut, membuli, salahguna dadah, membawa senjata, mencabuli kehormatan, mengancam pelajar, menceroboh, terlibat dalam kongsi gelap, tunjuk perasaan, menentang peraturan sekolah dan pihak sekolah.
2. Jenis salah laku yang merangkumi kategori lucah ialah bercumbuan,
berkhalwat, membawa atau membaca bahan lucah, mengintai pelajar perempuan, menggunakan kata-kata lucah, melukis gambar lucah.
3. Jenis salah laku yang merangkumi kategori kemasan diri ialah berambut panjang, rambut berwarna dan kurang kemas, berkuku panjang, bermisai atau berjanggut, berpakaian tanpa mengikut peraturan sekolah, memakai barang kemas.
4. Jenis salah laku yang merangkumi kategori tidak pentingkan masa ialah berkeliaran, lewat ke perhimpunan sekolah,bengkel, makmal atau bilik darjah, makan di luar masa rehat, berbual-bual atau buat bising dalam bilik darjah, sembunyi diri dalam perpustakaan atau tandas, tidak buat kerja sekolah mengikut masa.
5. Jenis salah laku yang merangkumi kategori kurang sopan ialah berkasar dengan guru, pengawas atau pelajar, berbahasa kesat, menyimpan atau menghisap rokok, mengganggu pengajaran pembelajaran,tidak hormat guru atau pengawas.
6. Jenis salah laku yang merangkumi kategori laku musnah ialah
merosakkan harta benda sekolah, pengetua,guru,pelajar dan kantin.
7. Jenis salah laku yang merangkumi kategori tidak jujur ialah menipu
(melibatkan wang), menipu sekolah, pengetua, guru,pelajar dan kantin
8. Jenis salah laku yang merangkumi kategori ponteng ialah ponteng kelas,
sekolah, perhimpunan, aktiviti kokurikulum, ujian, peperiksaan, kelas
tambahan, tugas sekolah dan aktiviti sekolah.

Mengikut analisis, sepuluh salah laku yang berkerapan tinggi berlaku di peringkat sekolah menurut urutan ialah:-
1. Ponteng sekolah
2. Mencuri
3. Mengancam murid sekolah
4. Berkasar dengan murid sekolah
5. Berbahasa kesat
6. Datang sekolah/masuk kelas lambat
7. Membuat bising dan menggangu pelajaran
8. Merosakkan harta benda sekolah
9. Ponteng aktiviti kokurikulum
10. Ponteng kelas

PUNCA-PUNCA MASALAH DISIPLIN

Guru
- Pendekatan dan kaedah pengajaran yang digunakan tidak menarik atau tidak sesuai.
Guru gagal memilih dan menggunakan pendekatan dan kaedah pengajaran yang dapat menarik dan mengekalkan minat murid kepada perkara yang disampaikan oleh guru. Murid menjadi bosan, tidak menumpukan perhatian dan menimbulkan masalah disiplin. (Shahabudin Hashim, Rozihani Yaakub, Mohd Zohir Ahmad, 2007)
Guru yang bijak,kreatif dan inovatif dapat menggunakan kaedah pengajaran pembelajaran yang berkesan dan melibatkan pelajar secara aktif dan terkawal. Kaedah berkesan yang digunakan akan dapat mengurangkan masalah yang tidak dikehendaki. Kepelbagaian kaedah, teknik dan strategi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi pelajar aktif, seronok dan mudah menerima apa yang diajar oleh guru. Dengan itu karenah disiplin dapat dikurangkan. (Abdul Rahim Abd Rashid, 1999)

- Perwatakan dan sahsiah guru
Menurut (Mok Soon Sang, 2008) guru yang kurang berpengalaman dan kurang tegas atas disiplin bilik darjah tidak akan mendapat penghormatan dan kepercayaan daripada murid-murid. Murid-murid yang nakal sering menimbulkan masalah dengan tujuan untuk membuli guru yang kurang tegas.
Menurut (Ahmad Mohd Salleh, 2004) antara sifat-sifat guru yang disukai murid menurut Atan Long (1993) ialah mempunyai emosi yang stabil dan mental yang sihat, mempunyai badan yang sihat dan sahsiah yang dinamik, mempunyai kecerdasan otak yang lebih tinggi daripada kebanyakan orang, mempunyai sifat kreatif, imaginasi dan ikhtiar, mempunyai suara dan tingkahlaku yang beradab, bertata tertib, bertimbang rasa, mempunyai simpati dan bijaksana dalam menghadapi masalah, sabar, jujur dan ikhlas, tegas, menepati masa dan berkebolehan mengurus, mempunyai sikap yang positif dan menggalakkan, memberi bimbingan yang demokratik dan menjaga status ikhtisas perguruan.

- Hubungan guru dengan pelajar kurang baik dan kurang mesra
Menurut Tengku Sarina Aini Tengku Kasim & Yusmini Md. Yusoff 2006, menyatakan bahawa tugas guru bukan bersifat statik dan hanya tertumpu kepada objektif akademik sahaja. Tetapi guru berperanan dan mempunyai pengaruh yang besar kepada pembetukan kehidupan sosial pelajar. Sehubungan itu, pembinaan hubungan berkesan antara guru dan murid adalah pendekatan terbaik bagi mencapai hasrat ini.
Antara kelebihan apabila wujud hubungan baik antara guru dan pelajar ialah akan melahirkan persahaman yang baik antara mereka serta wujud rasa percaya mempercayai dan ini dapat memberi kesan positif kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh sebab itu,sudah pasti masalah disiplin akan dapat dikawal dan dikurangkan.

Suasana bilik darjah kurang selesa

- Bilik darjah yang tidak selesa
Keadaan bilik darjah yang tidak terurus,kerusi meja yang banyak dan nampak berselerak, cahaya yang tidak mencukupi, panas, bekalan elektrik tidak ada atau sudah tidak berfungsi menimbulkan ketidakselesaan kepada pelajar enyebabkan mereka gelisah. Oleh sebab itu,merekatidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran sepenuhnya dan ini memungkinkan berlaku gangguan kepada pengajaran dan pembelajaran.

- Bilangan murid yang terlalu ramai
Guru tidak akan dapat mengawal kelasnya dengan baik apabila bilangan murid terlalu ramai lebih-lebih lagi terdapat berbagai-bagai tahap kebolehan pelajar. Ada pelajar yang lemah, sederhana dan tinggi tahap kebolehan menerima apa yang diajar oleh guru. Guru tidak mampu melayan semua karenah pelajar di dalam kelas tersebut. Jadi,pelajar yang tertinggal atau atau tidak berminat mengikuti pengajaran guru akan melakukan aktiviti-aktiviti yang mengganggu pengajaran dan pembelajaran. Contohnya membuat bising, mengganggu rakan dan bergerak ke sana sini. (Shahabudin Hashim, Rozihani Yaakub, Mohd Zohir Ahmad, 2007)



Kesihatan murid kurang baik

Pelajar yang kurang sihat atau tidak mendapatmasa rehat yang
mencukupi tidak akan dapat menumpukan perhatian mereka di dalam kelas. Mereka sering mengantuk, tidak cergas dan tidak mampu melibatkan diri secara aktif ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Untuk mengelakkan hukuman daripada guru, kemungkinan besar daripada mereka akan meniru pelajar lain atau tidak membuat langsung tugasan yang diberikan. Dapat direnung bersama bahawa pada masa ini, berapa ramaikah guru yang menyoal tentang kesihatan pelajar-pelajarnya sebelum memulakan pembelajaran.

Aspirasi sekolah yang terlalu tinggi

Pihak sekolah yang terlalu mementingkan pencapaian dan prestasi
akademik juga sebenarnya merupakan punca timbulnnya masalah disiplin ini.Hal ini kerana pelajar-pelajar yang tidak mampu mencapai aspirasi sekolah sebagaimana diharapkan biasanya lebih cenderung untuk menimbulkan masalah disiplin. (Mok Soon Sang, 2008)




Pengaruh negatif.

- Pengaruh negatif dari keluarga
Keluarga merupakan unit sosial terkecil yang menjadi asas utama
perkembangan diri. Keluarga memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan keperibadian. Kualiti kehidupan rumahtangga akan memberi kesan kepada kualiti tingkahlaku. Keluarga yang aman damai, akan melahirkan anak-anak yang berperibadi normal dan baik. Sebaliknya jika rumahtangga bermasalah,adanya konflik, perceraian dan sebagainya lagi akan menimbulkan anak-anak yang bermasalah. Kebanyakan pelajar-pelajar yang menghadapi masalah ini tidak dapat menumpukan perhatian di dalam kelas. Sentiasa murung, menyendiri. Hal ini kerana mereka kekurangan kasih sayang dan perhatian dari ibu bapa dan ahli keluarga. Lalu, mereka akan melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatian orang ramai seperti mencuri, merosakkan harta benda sekolah dan pelbagai masalah disiplin lagi akan timbul. Peribadi ahli keluarga yang tidak bermoral dan berakhlak juga akan mempengaruhi diri pelajar lantas terbawa-bawa sehingga ke dalam bilik darjah. Contohnya suka mengeluarkan kata-kata kesat dan lain-lain lagi. (Ibrahim Mamat,1997)

- Pengaruh negatif dari rakan sebaya.
Rakan sebaya juga mempengaruhi sahsiah dan keperibadian pelajar.
Pelajar yang mudah terpengaruh akan mudah diajak untuk menimbulkan masalah disiplin samada di dalam bilik darjah atau di sekolah. Contohnya menghisap rokok, meminum arak, menyalahgunakan dadah, merosakkan harta benda sekolah, ponteng kelas, bersembunyi di dalam tandas dan sebagainya lagi. (Ibrahim Mamat,1997).Kebanyakan pelajar melakukan semua itu supaya mereka diterima di dalam sesebuah kumpulan yang sengaja diwujudkan oleh pelajar-pelajar bermasalah ini.

- Pengaruh negatif dari media massa.
Perkembangan media cetak dan media elektronik juga merupakan punca
terjadinya masalah disiplin. Media cetak menyajikan fesyen-fesyen, hiburan, gaya hidup yang pelbagai. Manakala perkembangan pesat teknologi maklumat pula seperti budaya cybercafe, chatting di internet, kebebasan melayari aneka laman web menjadikan pelajar dapat mengetahui sesuatu itu dengan mudah. Pelajar yang mudah terikut dengan gerak hati anak muda akan mudah meniru atau terpengaruh dengan apa yang dilihatnya. Contohnya datang ke sekolah dengan fesyen dan gaya rambut yang pelbagai, menubuhkan kumpulan mereka yang tersendiri, membawa bahan-bahan lucah ke sekolah dan banyak lagi. (Azizan Bahari, 2003)






LANGKAH-LANGKAH MENANGANI MASALAH DISIPLIN

1. Peranan pelajar.
Dalam menangani masalah disiplin ini, pelajar juga boleh memainkan
peranan. Mereka perlu mempunyai kesedaran mendisiplinkan diri, mematuhi semua peraturan yang ditetapkan di sekolah, menjaga diri daripada terjebak dengan masalah-masalah disiplin, elakkan daripada berkawan dengan pelajar yang mempunyai masalah disiplin ini kerana dikhuatiri akan terpengaruh.

1. Peranan guru
Guru perlu menguruskan bilik darjahnya supaya pelajar tidak bosan di samping dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif. Suasana yang kondusif ini hanya dapat diwujudkan apabila semua murid mengikut peraturan bilik darjah yang telah ditetapkan. (Mok Soon Sang, 2008)
Guru juga perlu menggunakan mempelbagaikan kaedah ketika mengajar. Menurut ( Mok Soon Sang,1991) tujuan menggunakan berbagai-bagai teknik mengajar dalam situasi pengajaran ialah untuk menarik minat murid, mengekalkan perhatian serta membangkitkan rasa ingin tahu murid supaya mencapai objektif pengajaran guru. Oleh itu, teknik yang dipilih haruslah berdasarkan umur, kecerdasan,kebolehan dan minat murid. Dalam hal ini pemilihan bahan pelajaran yang sesuai hendaklah berkait rapat dengan teknik mengajar.
Apabila pelajar dapat melibatkan diri secara baik di dalam bilik darjah, maka sudah tentu masalah disiplin dapat diminimumkan.
Seorang guru perlu jujur dalam menyampaikan ilmu pengetahuan. Bukan sekadar mahu menghabiskan sukatan pelajaran. Tetapi benar-benar mahu mendidik. Sikap ini perlu ditunjukkan oleh semua guru. (James Dunhill, 1964)
Mengikut (Shahabudin Hashim, Rozihani Yaakub, Mohd Zohir Ahmad, 2007) guru juga perlu membuat persediaan yang rapi untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran. Masa untuk sesuatu waktu pengajaran digunakan secara maksimum bagi mengelak murid tidak ada masa melakukan kerja-kerja lain. Guru juga perlu mempamerkan keyakinan diri semasa berada di dalam kelas supaya murid juga yakin dengan kebolehan guru. Suara guru perlu jelas dan bahasa yang digunakan mudah difahami oleh semua pelajar.
Guru perlu tegas dalam memberi tugasan dan arahan supaya pelajar dapat akur dengan kehendak dan arahan guru. Tegas di sini tidak membawa maksud autokratik, sebaliknya demokratik. Guru perlu sedar tugas mengawal disiplin pelajar adalah tugas semua guru lebih-lebih lagi yang melibatkan waktu pengajaran guru. Segala salah laku yang berlaku dalam bilik darjah perlu ditegur dengan segera.
Pada masa yang sama guru perlu mesra dengan pelajar dan mengelak daripada ada unsur pilih kasih dalam melayan karenah murid supaya pelajar senang dengan guru. Apabila senang dengan guru berkenaan,masalah disiplin yang timbul hasil daripada hubungan tidak baik dengan guru dapat dikurangkan.
Guru kelas juga perlu peka dengan persekitaran bilik darjah yang kurang menyenangkan.Guru perlu kreatif dan proaktif dalam membina persekitaran bilik darjah yang ceria dan kondusif supaya masalah disiplin yang timbul akibat ketidakselesaan murid dapat diatasi.
Penghargaan dan pujian perlu diberi kepada yang berkelakuan baik, di samping memupuk nilai-nlai murni di kalangan murid. Murid yang mempunyai masalah peribadi perlu ditangani dengan sebaik mungkin supaya mereka tidak menimbulkan masalah disiplin.(Abd. Ghafar Mad Din, 2003)

2. Peranan Staf dan Pentadbir sekolah
Pelaksanaan disiplin sekolah adalah tanggungjawab bersama,bukan tugas Guru Besar atau Pengetua, guru-guru Penolong Kanan dan guru-guru Disiplin, semata-mata tetapi semua staf dan pentadbir sekolah samada guru bimbingan dan kaunseling, ketua warden dan warden asrama, guru-guru agama dan moral hatta tukang kebun sekalipun. Semua boleh memainkan peranan masing-masing. (Ang Jit Eng,2007)

Antara yang boleh dilakukan ialah:-
- Memastikan semua tatacara pengurusan disiplin bilik darjah dipatuhi oleh guru dan pelajar. Pemantauan yang berterusan perlu dibuat dari semasa ke semasa.
- Memastikan bilangan murid di dalam sesebuah kelas mematuhi syarat saiz kelas yang ditetapkan. (Shahabudin Hashim, Rozihani Yaakub, Mohd Zohir Ahmad, 2007)
- Memastikan murid-murid mematuhi peraturan yang ditetapkan di sekolah demi kebaikan mereka.
- Menyediakan pelbagai kemudahan sekolah seperti alat bantu mengajar, tempat-tempat duduk , kipas ngin dan kemudahan-kemudahan yang lain. Kemudahan tempat duduk contohnya di bawah pohon-pohon yang rendang,di taman bunga atupun pondok bacaan supaya dapat memberi keselesaan kepada murid.
- Meningkatkan kebersihan dan keceriaan sekolah dengan mengadakan aktiviti gotong royong, pertandingan kebersihan dan sebagainya.
- Menyediakan sistem perkhidmatan psikologi. Ia penting supaya dapat memberi bimbingan dan kaunseling kepada pelajar yang bermasalah dan selalu membuat masalah disiplin.
- Mempertingkatkan sistem kelab dan persatuan. Contohnya mewujudkan Persatuan Kebajikan Murid atau Kelab Pencegahan Jenayah.
- Memantapkan sistem dan struktur kepimpinan murid. Melalui aktiviti kepimpinan contohnya program kepada Kelab Pengakap atau pegawas-pengawas sekolah, mereka akan dilatih agar memupuk diri dengan nilai-nilai yang murni seperti berdisiplin, bekerjasama, hormat-menghormati dan sebagainya.

3. Peranan Ibu bapa
Tugas untuk mendisiplinkan pelajar bukan hanya terletak di bahu guru-guru, staf dan pentadbir sekolah,namun ibu bapa juga berperanan penting dalam mengawalnya.
Antara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mengawal masalah disiplin ialah:-
- Selalu merujuk kepada pihak sekolah dalam hal disiplin anak. Ibu bapa perlu melibatkan diri dalam mesyuarat atau aktiviti yang dijalankan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Hal ini supaya ibu bapa dan guru dapat berbincang mengenai masalah anak-anak yang berlaku dan cuba menyelesaikan masalah tersebut dengan sebaik mungkin.
- Memberi pengetahuan agama di samping menjadi contoh teladan kepada anak-anak. Melalui didikan agama yang diberikan, anak-anak dapat menilai dan membezakan mana yang baik,mana yang buruk,apa yang dilarang dan disuruh oleh agama. Contohnya apabila anak-anak melayari internet atau membaca bahan-bahan bacaan. Dengan sendirinya mereka dapat membuat keputusan yang terbaik.
- Memberi kelonggaran tertentu dan tidak terlalu mengongkong tetapi mengambil tahu pergerakan dan aktiviti-aktiviti anak-anak. Ibu bapa perlu mengetahui dengan siapa anak-anaknya berkawan.
- Menggalakkan anak-anak mempunyai hubungan mesra di dalam keluarga.
- Menunjukkan minat terhadap pelajaran anak-anak.
- Memberi kebebasan kepada anak-anak memilih bidang yang diminati.
- Mengamalkan sikap menghormati anak-anak dan menggalakkan anak-anak menghormati diri, keluarga dan orang lain .(Ibrahim Mamat, 1997)

4. Peranan Komuniti
Menurut (Ang Jit Eng,2007), komuniti setempat juga boleh menjadi mata dan telinga dalam mengawal masalah disiplin ini. Komuniti setempat yang terdiri daripada badan-badan atau pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan seperti polis, bomba, majlis tempatan,penghulu, JKK Keselamatan, JK tempat-tempat beribadat dan sebagainya dapat diminta memberi kerjasama mereka untuk menyampaikan mesej kepada ibu bapa tentang kepentingan disiplin murid di sekolah di samping membantu untuk melaporkan salah laku yang dilakukan oleh murid di luar sekolah.
Apabila murid-murid dapat merasakan komuniti setempat melaporkan kes-kes ponteng,lepak,merokok dan salah laku yang lain kepada pihak sekolah, mereka lebih segan atau berhati-hati apabila cuba melakukannya berbanding dengan komuniti yang tidak mengambil tahu pada salah laku yang dilakukan.







PENUTUP

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan ke hadrat Ilahi atas limpah kurnia serta pertolonganNya saya dapat selesaikan tugasan ini dengan lancar.
Dan penghargaan buat Dr. Habib Mat Som kerana banyak membimbing serta memberi tunjuk ajar kepada saya.Tidak lupa juga saya kepada sahabat-sahabat serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menyelesaikan kajian ini.
Sesungguhnya dapat saya tegaskan sekali lagi di sini bahawa masalah disiplin yang berlaku ini adalah satu isu yang sangat penting. Apabila berlaku masalah ini, kita tidak boleh menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. Sebaliknya perlu saling bekerjasama membantu mengurangkan masalah ini. Samada pihak guru, pengetua, ibu bapa, staf dan bahagian pentadbir sekolah sahaja. Masyarakat juga boleh menjadi ’mata dan telinga’ dalam menyelesaikan masalah ini untuk mewujudkan kehidupan yang aman dan tenteram. Apabila masalah didiplin dapat dikawal,pembelajaran yang kondusif dapat diwujudkan. Dari situ akan lahir pelajar-pelajar yang cemerlang akademik dan peribadi. Mereka inilah yang bakal menerajui mercu kepimpinan negara. Jelas di sini bahawa isu disiplin ini bukan isu main-main dan hanya dipandang enteng. Tetapi merupakan satu isu yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak.
Harapan saya, semoga segala usaha ini akan mendapat ganjaran serta keredhaan daripada Allah S.W.T.
RUJUKAN
Abdul Ghafar Md Din. (2003). Prinsip dan amalan pengajaran. Kuala Lumpur:
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Abdullah Hassan & Ainon Mohd. (2000). Kemahiran Interpersonal untuk guru
bestari. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Abdul Rahim Abdul rashid. (1999). Profesionalisme motivasi pengurusan bilik
darjah. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Ahmad Mohd Salleh. (2003). Pendidikan Islam : Falsafah, sejarah dan kaedah
pengajaran pembelajaran. Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Azizan Bahari. (2003). Generasi muda menangani cabaran. Selangor: Qarya
Sdn. Bhd.

Dunhill J. (1964). Discipline in the classroom. London: University of London
Press LTD.

Eng, A. J. (2007). Pengurusan Disiplin Murid. Kuala Lumpur: PTS Professional
Publishing Sdn. Bhd.

Ibrahim Mamat. (1997). Memimpin remaja sekolah : Teori dan praktik. Kuala
Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Madsen C. H. & Madsen C. K. (1970). Teaching discipline : A positive Approach
for Educational Developement. United States: Leora Haywood.

Rahana Mohd. Dahari. (2008, Mei 5). E-Disiplin di semua sekolah menengah.
Utusan Malaysia, hlm. 6

Rahana Mohd. Dahari. (2008, Mei 5).Buli siber cabaran baru di sekolah. Utusan
Malaysia, hlm. 6

Sang M. S. (1991). Pedagogi 2 : Strategi pengajaran dan pengajaran mikro.
Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Sang M. S. (2008). Pengurusan hal ehwal murid. Selangor: Penerbitan
Multimedia Sdn. Bhd.

Shahabuddin Hashim, Rozihani Yaakub & Mohd Zohir Ahmad. (2007). Strategi
dan teknik mengajar berkesan. Kuala Lumpur: PTS Professional
Publishing Sdn. Bhd.

Tengku Sarina Tengku Aini & Yusmini Md. Yusoff. (2006). Kuala Lumpur: PTS
Professional Publishing Sdn. Bhd.

0 Comments:

Post a Comment